Pendidikan prasekolah mempunyai peranan dan fungsinya yang tersendiri sebagai asas pendidikan dalam perkembangan pendidikan di negara ini kerana pendidikan prasekolah bukanlah sebahagian dari sistem persekolahan di Malaysia. Tidak ada peruntukan yang disediakan oleh Kementerian Pelajaran untuk pendidikan prasekolah. Penglibatan Kementerian Pelajaran ialah setakat menyediakan buku panduan bagi kewujudan tadika-tadika . Sama ada ianya diikuti atau tidak terpulanglah kepada institusi pendidikan prasekolah tersebut. Walau bagaimanapun fungsi dan peranan pendidikan prasekolah tidak dapat dinafikan. Antara fungsi pendidikan prasekolah (Seminar Pendidikan UKM, Jun 1978)
• Pendidikan prasekolah akan memperkayakan lagi pengalaman kanak-kanak dari kelas sosio-ekonomi yang baik.
• Dengan adanya sistem pendidikan prasekolah ini dapat menolak dan mengenali kelemahan-kelemahan kanak-kanak sebelum memasuki darjah satu.
• Kewujudan sistem pendidikan prasekolah juga dapat memperbaiki lagi persediaan
pembelajaran yang sudah lengkap.
• Fungsinya yang lain ialah mencukupkan dan mengisikan persediaan pembelajaran yang tidak lengkap.
• Keseimbangan emosi- untuk menyemai sikap positif terhadap diri sendiri, kepercayaan terhadap orang lain dalam hidup kumpulan serta menambahkan keyakinan kepada keupayaan diri sendiri. Bagi membentuk kemahiran kanak-kanak dalam asas 3 M.
• Pertumbuhan estetika untuk menyemai kesedaran kanak-kanak terhadap keindahan alam sekitar dengan menikmati muzik, lagu dan lain-lain.
• Perkembangan dan pendidikan ketatanegaraan
• Dapat memperkembangkan pendidikan kerohanian dan moral
• Memberi pendidikan asas agama Islam untuk kanak-kanak Islam.
• Pendidikan prasekolah menyediakan kurikulum yang dapat memperkembangkan fizikal dan jasmani kanak-kanak, contohnya pusat pendidikan prasekolah dilengkapi dengan alat permainan untuk kanak-kanak bersenam dan untuk menggerakkan badan.
• Akhir sekali pendidikan prasekolah berperanan bagi menyuburkan potensi kanak-kanak dalam semua aspek pertumbuhan diri yang seimbang supaya mereka menjadi individu yang berguna kepada dirinya dan masyarakat dengan berlandaskan rukun negara.
Lazimnya fungsi pendidikan prasekolah di kaitkan dengan falsafah meningkatkan perkembangan kanak-kanak dari segala sudut perkembanganya (fizikal, emosi, sosial dan intelek untuk tadika swasta) serta perkembangan sudut rohani melalui penerapan nilai-nilai murni (selaras dengan tuntutan reformasi pendidikan). Fungsi pendidikan prasekolah menjelang tahun 2000 mungkin akan bertambah. Tadika akan menjalankan perkhidmatan bagi meningkatkan keperluan dalam: (Dewan Masyarakat, April 1996)
• Perkembangan menyeluruh kanak-kanak
• Kesediaan akademik untuk bersekolah
• Penjagaan kanak-kanak
• Perkembangan personaliti kanak-kanak
• Pendidikan keibubapaan
• Perkembangan kerohanian
• Perkembangan daya kreatif
Fungsi pendidikan prasekolah menjelang ke arah pertengahan tahun 2000 akan
menjadi lebih rumit daripada keadaan sekarang. Seharusnya pihak akademik yang merancang struktur pendidikan mengambil tindakan yang sewajarnya di dalam menyelaraskan peranan dan fungsi tadika sebenarnya terhadap bidang pendidikan.
KEPENTINGAN PENDIDIKAN AWAL (PRASEKOLAH)
Dalam memperkatakan pendidikan awal dari perspektif Islam, Al-Ghazali berpendapat: "Kanak-kanak merupakan amanah dan tanggungjawab orang tuanya, jiwanya suci murni merupakan permata mahal yang bersahaja dan bebas dari ukiran dan gambaran dan ia boleh menerima setiap ukiran dan cenderung kepada apa yang dicenderungkan kepadanya". (Al-Ghazali, 1296H, Dalam Hasan Langgulung, 1979)
Rousseau, seorang ahli falsafah Perancis yang ideanya sendiri banyak dipengaruhi oleh pemikir-pemikir Islam berpendapat, masa kanak-kanak di kalangan manusia adalah
lebih panjang jika dibandingkan dengan makhluk lain seperti haiwan. Rousseau selanjutnya menjelaskan bagaimana kanak-kanak memerlukan perlindungan. Ini boleh dilakukan dengan menyediakan persekitaran yang sihat dan dapat mengembangkan potensi yang ada pada kanak-kanak tersebut. Pendedahan kepada persekitaran yang sesuai akan mengajar mereka menjalani kehidupan dengan sempurna. Kanak-kanak tidak harus ditinggalkan sendirian dan dipengaruhi oleh gejala-gejala negatif yang membawa kepada kejahatan dan kejahilan (Hasan Langgulung, 1979:16).
Selanjutnya Rousseau menjelaskan: "Pentingnya masa kanak-kanak di mana peribadi kanak-kanak terbentuk dan pengaruhnya besar sekali pada kehidupan selanjutnya, yakni masa dewasa dan masa tua, hal-hal pertamalah yang patut dipelihara, sebab kanak-kanak pada asalnya diciptakan siap untuk menerima baik atau buruk. Hanya orang tuanyalah yang mencenderungkan kepada salah satu diantaranya"
(Rousseau, 1762. Dalam Hasan Langgulung, 1979)
Pendapat ini hampir serupa dengan maksud sebuah hadis yang bermaksud bahawa, "Kanak-kanak dilahirkan dengan fitrah(suci), hanya orang tuanya yang menjadikannya Majusi, Yahudi atau Nasrani" (Ash-Shiddieqy, 1969)
Selain daripada kedudukan anak sebagai amanah Allah kepada ibubapa, anak juga merupakan cubaan atau ujian kepada mereka. Allah menguji sama ada ibubapa dapat
melaksanakan amanah ini. Sekiranya amanah ini terlaksana ibubapa memperolehi ganjaran seperti ibadah. Firman Allah yang bermaksud:
"Dan ketahuilah, bahawa harta bendamu dan anak-anakmu itu adalah sebagai ujian dan sesungguhnya di sisi Allahlah pahala yang besar."(Surah al-Anfal:28)
Terdapat juga hadith yang bermaksud: "Apabila anak Adam meninggal dunia, putuslah semua amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang manfaat dan anak yang soleh yang mendoakannya". Jelaslah di sini bahawa pendidikan peringkat awal sangat dititik beratkan oleh filosofi Islam dan Barat. Mereka sependapat bahawa pendidikan kanak-kanak harus mendapat perhatian sepenuhnya kerana kanak-kanak mempunyai waktu tertentu yang sangat singkat dan perlu mendapat perhatian serius. Waktu ini disebut sebagai waktu kritikal. Perkembangan intelek, emosi dan jasmani kanak-kanak bergantung kepada sempurna atau tidaknya asuhan yang diperolehi terutama sekali dalam waktu kritikal. Jadi, untuk menyempurnakan tugas ibubapa, taman-taman asuhan perlulah mempunyai kurikulum yang seragam untuk membentuk insan yang cemerlang yang akan menjadi pemimpin unggul pada masa akan datang. (Pendidik dan Pendidikan, USM)
1 comments:
Sangat2 mmbantu...thank you
Post a Comment