Saturday, April 17, 2010

ISU TINGKAHLAKU BERMASALAH KANAK-KANAK



PENGENALAN

Tingkah laku bermasalah boleh didefinisikan sebagai tingkah laku yang tidak normal dan terkeluar dari nilai dan norma sosial masyarakat,tidak kira di dalam kehidupan bermasyarakat atau termasuk sekolah. Secara konsepnya, ia bertentangan dengan tingkah laku yang lazimnya dianggap sebagai persepsi, perasaan, dan perlakuan yang pada kebiasaanya dialami oleh banyak orang dalam sesebuah masyarakat sama ada di kawasan pedalaman mahupun bandar.

Berdasarkan dari kajian dan pemerhatian oleh pakar psikologi, didapati tingkah laku bermasalah ini timbul kerana kurangnya keupayaan individu dalam proses mengadaptasi atau akomodasi apabila menghadapi perubahan situasi dalam alam persekitaran. Ini menyababkan berlakunya gangguan emosi dan aktiviti kehidupan individu serta seterusnya mengganggu kestabilan dan keharmonian persekitarannya.

Dalam konteks pendidikan, tingkah laku bermasalah merujuk kepada sebarang tingkah laku yang yang boleh merosakan kelancaran dan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran khususnya di dalam bilik darjah. Kajian terhadap masalah murid sekolah ini membawa kepada dua pecahan utama tingkah laku murid bermasalah iaitu, positif dan negatif.

Tingkah laku bermasalah positif yang dikenal pasti seperti perlakuan ingin tahu, cepat belajar, pintar cerdas dan proaktif. Manakala untuk tingkah laku bermasalah negatif pula ialah perlakuan distruktif iaitu tingkah laku anti sosial, disruptif berkaitan tingkah laku mengganggu, dan akhirnya tingkah laku bergantung yang berlebihan.


PRINSIP ASAS DISIPLIN

Bagi melaksanakan disiplin yang baik dan berkesan, setiap sekolah hendaklah berasaskan kepada prinsip-prinsip berikut:

• Keadilan dan layanan yang sama rata.
• Pertimbangan minat dan keperluan murid.
• Kebebasan yang berdasarkan undang-undang.
• Amalan menghormati seseorang individu.
• Perhubungan sihat sesama manusia untuk kehidupan berharmonis.
• Perpaduan masyarakat dan negara.

Sama ada seseorang murid itu mempunyai masalah bertingkah laku positif dan negatif, ia akan membawa kesan yang tidak baik dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Oleh yang demikian, guru haruslah mengambil tahu dan segera merancang dan melaksana strategi dan tindakan yang sesuai untuk mengubah tingkah laku yang negatif itu.

Hal ini sangat penting demi menjamin dan mengawal keadaan bilik darjah yang kondusif dan mempertingkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran. Esei ini akan cuba menerangkan jenis-jenis tingkah laku bermasalah dengan memberi contoh keadaan yang bersesuaian. Perbincangan terhadap teknik mengenal pasti atau metodologi mengenal pasti serta strategi untuk memodifikasi tingkah laku tersebut di sebuah sekolah yang dikaji akan di tunjukkan.

ISU TINGKAH LAKU BERMASALAH

Sudah menjadi lumrah duniawi setiap menusia mengalami pertumbuhan dan perkembangan sehingga ke peringkat matang. Perkembangan manusia merujuk perubahan dari aspek jasmani, kognitif, emosi, sosial dan rohani. Hampir semua perkembangan tersebut berkaitan dengan faktor baka dan persekitaran. Berikut adalah berdasarkan pengalaman saya sepanjang mengikuti program Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) di sebuah sekolah yang terlatak di sebuah bandaraya yang terkenal.
Sekolah ini mempunyai kelas untuk murid masalah pembelajaran (PKBP) di dapati terdapat pelbagai tingkah laku di kalangan murid di sekolah tersebut. Walaupun secara puratanya tingkah laku normal murid-murid adalah lebih ketara di sekolah tersebut, namun tingkah laku bermasalah juga wujud sehingga menyukarkan proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung dengan teratur. Supaya lebih mudah difahami, saya akan menerangkan dahulu tingkah laku bermasalah dan kemudian akan menerangkannya di dalam perenggan tersebut beserta contoh agar dapat memahami dengan baik.

Sepertimana yang telah dijelaskan dalam pengenalan, tingkah laku bermasalah diklasifikasikan kepada dua kategori utama iaitu tingkah laku bermasalah positif dan negatif. Tingkah laku bermasalah positif dalam aspek proses pengajaran dan pembelajaran merujuk kepada perlakuan pelajar yang ingin tahu secara keterlaluan, cepat belajar, pintar cerdas dan proaktif turut berlaku atau di sekolah dipanggil hiperaktif positif. Walaupun secara umumnya perlakuan tersebut dilihat adalah sangat baik dan positif dari segi pembelajaran seorang murid, namun sebaliknya ia mengganggu kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran yang sedang berlaku. Sebagai contoh kes yang berlaku di sekolah, murid A yang berperilaku ingin tahu yang keterlaluan akan menyebabkan murid A itu suka bertanya tidak pututs - putus sehingga mengganggu proses penerangan sesuatu topik yang dipelajari semasa proses pembelajaran dan pengajaran berlaku . Begitu juga perilaku proaktif akan menyebabkan murid lain yang sedang cuba memahami atau memberi fokus terhadap sesuatu topik pembelajaran dan memerlukan kosentrasi serta suasana yang kondusif turut mengalami gangguan dari murid A.

Selain itu, tingkah laku bermasalah positif cepat belajar dan pintar cerdas juga akan menyebabkan ketidakseimbangan dalam proses pembelajaran yang sedang berlangsung. Pemerhatian yang dapat dilihat ialah, apabila berlaku perlakuan murid seperti ini akan menyebabkan gangguan emosi bukan sahaja kepada murid dalam kelas itu sendiri, malah guru juga turut akan menerima kesannya. Perkara yang dapat dilihat ialah, murid yang bermasalah ini akan cuba untuk memperkatakan perkara yang mereka fahami dalam topik yang sedang diajar oleh guru. Hal ini menyebabkan murid-murid lain yang sama kelas kehilangan minat untuk belajar kerana berasa rendah diri melihat rakan sekelas telah mempunyai pengetahuan yang lebih dalam topik itu selain lebih berminat bertanya murid tersebut berbanding guru yang sedang mengajar.

Dalam pada itu, tindak-tanduk pelajar yang mempunyai kelebihan positif pintar cerdas juga menyebabkan guru tidak selesa untuk mengajar. Hal ini dapat dilihat sekiranya guru tersebut kurang bijak mengawal murid-murid dan tidak tegas dalam mengawal murid-murid. Sebagai contoh yang berlaku di sekolah, murid yang hiperaktif positif, ini apabila diberi sesuatu tugasan yang perlu disiapkan akan mengganggu pelajar lain yang masih sedang menyiapkan tugasan yang diberi kerana dia mampu menyiapkannya dengan lebih awal.

Murid pintar cerdas ini, bukan sahaja ada di sekolah aliran perdana namun ianya juga ada di aliran PKBP. Walaupun majoriti murid PKBP adalah murid yang berkeperluan khas namun ada sebahagian daripada murid-murid ini yang pintar cerdas. Pertanyaan, mengganggu,dan menjawab soalan sering berlaku sehingga menganggu proses pembelajaran dan pengajaran seperti aliran perdana. Murid yang menjadi pintar cerdas ini adalah murid yang mengalami masalah lembam kerana di dalam kalangan murid PKBP ini merekalah yang lebih berpengetahuan sikit, cuma kurang daya ingatan.

Murid-murid ini bersifat demikian adalah kerana inginkan perhatian yang lebih daripada guru yang mengajar, malah murid ini juga cuba mengganggu rakan mereka dan menyebabkan rakan terasa terpinggir dan malu untuk menonjolkan diri ketika di dalam kelas.

Penyelesaiannya, guru seharusnya lebih tegas agar murid lebih menghormati , dapat mengelak daripada murid lebih aktif dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, guru boleh memfokuskan murid agar tumpuan dapat diberikan murid sepenuhnya.

Tingkah laku bermasalah negatif pula terbahagi kepada tiga bahagian iaitu perlakuan distruktif iaitu tingkah laku anti sosial, disruptif berkaitan tingkah laku mengganggu, dan akhirnya tingkah laku bergantung yang berlebihan. Tingkah laku distruktif sering berlaku di kalangan murid yang berusia 10 hingga 15 tahun. Sikap agresif mereka sering ditunjukkan dalam bentuk tingkah laku merosakkan sama ada melalui sindiran atau melalui perbuatan fizikal seperti tumbuk-menumbuk, bergaduh, melukai atau menyakiti seseorang yang lain. Tingkah laku merosakkan ini mungkin melibatkan permusuhan nyata, vandalisme dan klik. Tindakan agresif kepada pihak lawan akan ditunjukkan akibat rasa tidak puas hati, benci, marah atau dendam. Tingkahlaku destruktif sebenarnya dipelajari sama ada melalui masyarakat, ibu bapa mahupun televisyen. Di sekolah yang saya melakukan PBS terdapat juga berlaku pergaduhan kecil semasa mereka. Walaupun, dilihat sebagai pergaduhan kecil yang melibatkan kanak-kanak namun ianya akan memberi kesan yang buruk kelak.
Tingkah laku masalah ini dicatit di dalam buku disiplin sekolah . Tindakan akan diambil adalah berbentuk amaran untuk pertama kali dan kedua kali dilakukan. Apabila ianya kerab dilakukan maka murid itu akan diambil tindakan berjumpa dengan waris sebelum sekolah mengambil tindakan susulan. Terdapat buku peraturan sekolah dan tindakan yang akan diambil termasuk merotan mengikut undang-undang yang ditetapkan sekolah dengan perserujuan ibubapa dan Jabatan Pendidikan.

Murid yang mempunyai tingkah laku desruptif pula sentiasa menganggu dan menjejaskan kelicinan perjalanan pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, tingkah laku menganggu ini juga berlaku di luar bilik darjah sama ada sesama adik beradik mahupun rakan sebaya. membuat bising iaitu tingkah laku yang mengganggu atau disruptif. Kebiasaan masalah ini wujud apabila keadaan murid keperluan khas ini tidak kondusif ketika mengikuti pengajaran dan pembelajaran. Boleh dikatakan kebanyakkan mereka akan membuat bising sama ada ketiadaan guru atau sebaliknya. Mereka akan bercakap sesama mereka, menjerit, mengganggu rakan sekelas dan sebagainya. Hal ini juga disebabkan kurangnya guru mengendalikan murid-murid tersebut seperti tidak mempelbagaikan kaedah penyampaian mengajar, guru menghadirkan diri ke mesyuarat dan meninggalkan mereka tanpa pengawasan, sikap semulajadi murid-murid keperluan khas seperti hiperaktif. Kebiasaan mereka akan hilang minat untuk mengikuti pembelajaran selepas waktu rehat atau melakukan aktiviti luar seperti pendidikan jasmani. Bagi mengatasi kebisingan di dalam kelas guru mesti memainkan peranan dengan menggunakan kaedah modelling iaitu modifikasi tingkah laku melalui ubah suai luaran. Modifikasi ini merujuk kepada peniruan melalui pemerhatian tingkah laku seorang model yang disanjung dan secara tidak langsung mengubah tingkah lakunya. Teori ini telah diperkenalkan oleh Bandura yang menjelaskan pelbagai tingkah laku sosial yang dipelajari oleh kanak-kanak. Jenis-jenis tingkah laku desruptif termasuk hiperaktif, terlalu membuat bising, pergerakan melampau, menganggu rakan sebaya, gelak terbahak-bahak serta menunjukkan keagresifan fizikal seperti tolak-menolak. Biasanya, tingkah laku ini dialami oleh pelajar lelaki berusia 10 hingga 11 tahun. Selalunya tingkah laku desruptif akan menjadi punca terjadinya tingkah laku destruktif jika emosi tidak terkawal dan melibatkan aspek balas dendam, tidak puas hati dan sebagainya.

Pemerhatian yang telah dibuat dalam sebuah sesi pengajaran dan pembelajaran yang sedang berlangsung, memang didapati masalah ini banyak berlaku terutamanya di kelas-kelas hujung dalam sesuatu darjah. Kebiasaannya golongan murid ini memang gemar mengganggu pelajar lain dengan membuat bising atau melakukan perlakuan agresif dari segi perilaku dan lisan terutamanya apabila mereka tidak dapat memahami sesuatu tugasan yang diberi.

Murid yang tingkahlaku bermasalah hiperaktif merupakan murid yang tidak dapat mengawal diri sendiri dan sentiasa melakukan sesuatu aktiviti yang akan menganggu murid lain. Malah murid ini juga boleh membahayakan dirinya sendiri dan juga murid yang lain .Sebagai contoh yang berlaku di sekolah, murid hiperaktif ini memanjat pagar tingkap. kemungkinan murid itu jatuh dan tercedera atau pagar itu jatuh terkena pada murid lain yang boleh menyebabkan kecederaan. Murid hiperaktif ini merupakan murid Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran (PKBP). Murid aliran perdana juga ada yang hiperaktif seperti ini. Murid ini akan mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran dengan bertindak luar dari kawalan seperti berlari di dalam kelas, membuat bising dan menganggu murid lain.

Murid aliran perdana yang menjadi hiperaktif adalah disebabkan oleh kurang berdisiplin ketika dirumah ataupun kurang perhatian ibu bapa yang sentiasa sibuk dengan tugasan kerja. Murid ini berkemungkinan mengalami tekanan dan seterusnya memberontak ketika di sekolah. Bagi murid PKBP pula, Murid ini dikenali sebagai ‘Hiperaktf-impulsf’ kerana bagi muird keperluan khas jenias ini , petunjuk utama adalah gabungan antara hiperaktif iaitu jumlah pergerakan sangat tinggi dan impulsive iaitu melakukan sesuatu tanpa berfikir. Murid jenis ini kerap mengetuk-ngetuk meja dan menggoyang-goyang kerusi, selalu berlari-lari, sentiasa aktif dan banyak bercakap.

Terdapat beberapa kaedah dalam mengatasi, membendung dan mengurangkan tingkahlaku bermasalah ini daripada semakin berleluasa. Antaranya adalah dengan menggunakan kaedah memenuhi kehendak pelajar seperti memahanmi keperluan pelajar tersebut. Apabila kehendaknya dituruti barulah lama kelamaan murid tersebut dapat memberi perhatian dalam kelas. Kaedah ini juga boleh dilaksanakan kepada murid keperluan khas Cuma pendekatannya sahaja yang berbeza berbeza. Contohnya bagi murid keperluan khas guru harus mengikut aktiviti pelajar itu seperti berlari tetapi semasa berlari pengisian pembelajaran harus ada umpamanya berlari sambil mengira. Ini boleh menimbulkan minat untuk murid itu belajar.

Dalam pada itu tingkah laku negatif juga menyebabkan tingkah laku menghalang seperti pergantungan berlebihan, kebimbangan, pengunduran dan pengasingan diri. Tingkah laku pergantungan berlebihan ini kerap berlaku di kalangan kanak-kanak yang berumur sepuluh tahun ke bawah. Namun, ianya juga mungkin akan berlarutan hingga remaja. Pada suatu ketika, apabila orang yang diharapkan tiada, individu ini akan berasa cemas, takut, bimbang, tertekan dan tidak tahu apa yang dilakukannya. Individu sebegini juga merupakan individu yang pendiam, tidak aktif, rendah diri, selalu mengalami kebimbangan dan tekanan. Di antara punca berlaku tingkah laku pergantungan berlebihan ialah akibat ibu bapa yang mengamalkan perlindungan terlampau, suasana rumah tangga yang tegang, autokratik dan tidak mempercayai kanak-kanak.

Kebimbangan berkait rapat dengan emosi ketakutan. Walaupun kebimbangan adalah suatu keadaan emosi yang berlaku di peringkat dalaman murid namun ianya juga merupakan salah satu daripada jenis tingkah laku bermasalah yang kurang ditonjolkan permasalahannya. Seseorang yang sentiasa bimbang akan sentiasa cemas atau ‘phobia’ menghadapi sesuatu cabaran. Mengikut kajian Barat, kanak-kanak yang selalu berada di dalam kebimbangan akan mendapat markah yang rendah berbanding dengan kanak-kanak yang normal. Mereka banyak melakukan kesilapan. Kebimbangan adalah fenomena yang akan menyebabkan kanak-kanak mempunyai personaliti dan kendiri yang negatif. Individu sebegini akan menghadapi kesusahan dalam perhubungan dengan orang lain. Antara sebab terjadi tingkah laku kebimbangan ialah percanggahan motif, konflik diri antara tingkah laku dan nilai sebenarnya, penyesuaian diri dalam menghadapi suatu keadaan yang baru, menghadapi suatu keadaan yang sukar diramal dan kehilangan tempat bergantung.

Pengunduran diri merupakan penarikan diri daripada suatu situasi kurang selamat atau mengancam. Tingkah laku ini merupakan mekanisme helah bela diri. Pada kebiasaannya, ianya berkaitan dengan pengalaman pahit pada
masa lampau. Kanak-kanak yang pernah gagal dalam sesuatu usaha akan mengambil keputusan untuk tidak melibatkan diri dalam sebarang tugas yang ada kaitannya dengan pengalaman awalnya. Tingkah laku pengunduran diri ini jika dibiarkan akan menyebabkan pembentukan konsep diri yang rendah, tidak yakin untuk berinteraksi, dan terjejasnya perkembangan sosial, emosi dan intelek; serta kurang berupaya untuk menyelesaikan masalah. Masalah pengunduran diri juga menyebabkan kanak-kanak menyimpan perasaan dalam hati dan tidak mampu meluahkannya. Ini akan mempengaruhi pemikiran dan pembentukan personaliti mereka. Sekiranya ianya terluah pada sesuatu ketika, ianya akan memungkinkan mereka melepaskan dengan tanpa kawalan emosi termasuk kemungkinan-kemungkinan lain yang membahayakan diri mereka sendiri.

Pengasingan diri merupakan tingkah laku yang cuba menjauhkan diri daripada orang lain yang kurang disenangi. Tingkah laku ini juga merupakan sejenis mekanisme helah bela diri untuk mengelakkan diri daripada berkomunikasi dengan orang lain.Masalah ini turut berlaku di sekolah yang saya menjalaini PBS. Sesetengah murid enggan melibatkan diri dalam aktiviti atau sesi perbincangan yang diadakan di sesebuah bilik darjah apabila murid merasakan dirinya tidak dapat mengikuti pembelajaran. Akhirnya ianya akan menyebabkan murid-murid tidak mempunyai keyakinan diri, rendah diri, pemalu, pendiam, tidak suka berkawan, tidak yakin berinteraksi dan personaliti yang tidak seimbang.

Pengasingan diri atau degan kata lain bagi murid berkeperluan khas PKBP adalah Autisme. Autisme merupakan murid-murid yang berada dalam dunianya sendiri. 1943 Leo Kanner mengunakan istilah autistic yang bermakna ‘lari dari reality’ untuk menjelaskan keadaan ini, Leo Kenner membezakan autisme dalam tiga perkara iaitu mengasingkan diri secara melampau sejak dari kecil,terlalu sayang kepada sesuatu objek tertentu dan keinginan yang kuat untuk bersendirian.

Bagi mengatasi masalah tingkah laku ini,…guru seharusnya mengabil tindakan dengan memberi tumpuan kepada murid tersebut secara individu agar murid dapat memberi perhatian. Tetapi tumpuan tersebut Cuma sekejap sahaja kerana murid ini cepat bosan dan akan membuat aktivitinya sendiri. Manakala bagi murid aliran perdana Guru seharusnya membincang dengan ibu bapa murid kerana ini berkemungkinan murid mengalami masalah di rumah. Selain itu, guru seharusnya mengajar apa yang diminati oleh murid kerana sedikit sebanyak akan memberi kesan terhadap murid ketika belajar.

Daripada huraian yang telah dijelaskan berkenaan tingkah laku bermasalah negatif ini, pemerhatian yang telah dibuat mendapati murid yang mengalami simptom ini pada kebiasaanya memerlukan perhatian yang lebih daripada guru. Mereka juga lemah dan lambat untuk memahami setiap pelajaran yang disampaikan oleh guru serta tidak mampu menyelesaikan tugasan atau aktiviti yang diberikan guru dengan sempurna. Dalam pada itu, golongan yang pasif ini juga seringkali menjadi mangsa buli dan ditindas oleh pelajar lain kerana kekurangan yang ada dalam diri mereka. Langkah mengatasi yang telah dijalankan oleh guru untuk mengelakkan masalah ini daripada menghalang kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran ialah dengan mengasingkan pelajar ini dan menghimpunkan mereka dalam satu kelompok yang digelar sebagai pelajar pemulihan.


RUMUSAN

Masalah tinglkahlaku bermasalah ini merupaka perkara yang perlu di beri perhatian yang serius kerana bermula dengan permasalahan yang kecil sebegini jika ianya berterusan akan menjadikannya satu kebiasaan. Kemudian ianya akan dibawa hingga ke peringkat dewasa dan masalah ini tidak dapat di ubah lagi.

Setiap perlakuan atau perbuatan yang terzahir adalah oleh murid-murid adalah disebabkan faktor-faktor tertentu yang mempengaruhi perbuatan tersebut. Namun setiap perbuatan ini mempunyai kesan-kesan tertentu yang mana kesannya adalah kepada murid itu sendiri tetapi juga memberi kesan kepada orang lain. Oleh itu cara-cara untuk mengatasi tingkah laku bermasalah ini hendaklah bersesuaian dengan tingkah laku bermasalah tersebut. Cara-cara mengatasinya adalah berbeza bergantung kepada masalah-masalah yang dihadapi.


Terdapat pelbagai teknik-teknik dan penyelesaian yang berkesan yang boleh digunakan untuk mengatasi masalah ini. Teknik-teknik modifikasi yang boleh dipraktikkan ini adalah untuk membantu murid mengubah tingkah laku negatif kepada tingkah laku positif dan seterusnya melicinkan proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Apabila tingkah laku positif dapat dibentuk, maka ini akan meningkatkan prestasi dan pencapaian serta keberkesanan aktiviti pembelajaran.

Dalam usaha menangani masalah ini, semua pihak harus melibatkan diri samada ibu bapa, guru, masyarakat dan juga pihak kerajaan. Usaha bersama akan membuahkan hasil yang tidak akan mengecewakan semua pihak serta dapat melahirkan murid yang berkaliber serta berwawasan selaras dengan wawasan Negara ke arah masyarakat yang berpengetahuan.

0 comments:

Post a Comment