Wednesday, April 7, 2010

PENGENALAN PRASEKOLAH


Sistem Prasekolah menyediakan pengalaman pembelajaran kepada murid-murid yang berumur antara 4 hingga 6 tahun bagi menyuburkan potensi mereka dalam semua aspek perkembangan, menguasai kemahiran asas dan memupuk sikap positif sebagai persediaan masuk ke sekolah rendah.

FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN

Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

MATLAMAT PENDIDIKAN PRASEKOLAH

Pendidikan prasekolah bertujuan untuk menyuburkan potensi murid dalam semua aspek perkembangan, menguasai kemahiran asas dan memupuk sikap positif sebagai persediaan masuk ke sekolah rendah.

PERKEMBANGAN SISTEM PENDIDIKAN PRASEKOLAH DI MALAYSIA

Perkembangan sistem pendidikan prasekolah telah wujud sejak sekian lama di Malaysia. Kebanyakannya lebih menjurus kepada pendidikan agama yang di laksanakan secara tidak formal di kampung-kampung. Pengajian Al-Quran dan agama ini di ajar kepada kanak-kanak yang berumur 4 tahun ke atas oleh guru-guru agama. Selalunya kanak-kanak ini belajar mengaji Al Quran di rumah tok guru. Masa yang di tetapkan untuk mereka belajar mengaji Al Quran adalah mengikut kehendak tok guru. Kebiasaannya ia di lakukan pada waktu selepas asar atau pada waktu malam. Kanak-kanak ini di ajar membaca muqaddam dan Al Quran sehinggalah mereka boleh membaca Al-Quran dengan bacaan yang lancar dan betul. Kebiasaannya kanak-kanak ini akan qatam Al Quran sebanyak tiga kali. Setelah qatam Al Quran, ahli keluarga kanak-kanak yang telah qatam Al Quran membuat kenduri pulut kuning sebagai tanda bahawa anak mereka telah tamat mengaji Al Quran dan sebagai ucapan terima kasih kepada tok guru yang telah mengajar mereka. Pendidikan agama yang di jalankan secara tidak formal ini masih lagi berlaku sekarang. Tetapi kebanyakan daripada keluarga kanak-kanak sekarang menghantar anak mereka kepada guru mengaji Al Quran yang di lantik di sesuatu kawasan atau sekolah agama. Biasanya mereka yang mengajar Al Quran ini di panggil ustaz dan ustazah. Kanak-kanak ini mengaji Al Quran seperti biasa dan hadiah kepada guru mengaji Al Quran ini adalah berupa pembayaran wang atau yuran setiap bulan.

Sistem pendidikan prasekolah secara tidak formal ini terus berkembang seiringan dengan tertubuhnya pusat-pusat asuhan kanak-kanak secara formal. Perkembangan pusat-pusat asuhan dan institusi prasekolah secara formal di Malaysia berkait rapat dengan faktor permintaan sosial, sama ada yang di akibatkan oleh desakan keperluan ekonomi ataupun perubahan nilai masyarakat yang di akibatkan oleh perbandaran dan permodenan. Pusat-pusat jagaan dan asuhan telah wujud bersama-sama dengan penubahan ladang-ladang getah dan kawasan perlombongan semasa pemerintahan kolonial Inggeris. Pusat-pusat ini ditubuhkan bagi menjaga anak-anak pekerja, yang kedua-dua ibu dan bapa bekerja bagi mencari nafkah. Akan tetapi pusat-pusat jagaan dan asuhan ini semata-mata memberi tumpuan terhadap penjagaan kebajikan dan kesihatan kanak-kanak, hanya sedikit tumpuan diberikan kepada aspek keperluan pendidikan (educational needs). Perkembangan bandar berserta dengan kepelbagaian kegiatan ekonomi bagi tujuan pembangunan telah mendorong kepada komersialisasi pusat-pusat jagaan dan asuhan secara meluas. Pusat-pusat jagaan dan asuhan ditubuhkan oleh pihak swasta bagi menampung permintaan ibu bapa yang bekerja untuk menjaga kebajikan anak-anak mereka. Pusat-pusat ini mengambil kanak-kanak dari umur beberapa bulan hingga 4 tahun atau 5 tahun.

Berbeza sedikit halnya daripada pusat jagaan dan asuhan, pendidikan prasekolah secara berinstitusi hanya bermula pada awal 1950-an. Prasekolah ketika itu adalah untuk kanak-kanak daripada golongan yang berada kerana yuran bagi perkhidmatan itu adalah tinggi atau di luar kemampuan golongan bawahan. Oleh itu, prasekolah bersifat elitis walaupun ‘pengajar’ (bukannya guru dalam erti kata sebenar) tidak mendapat latihan profesional mengenai pendidikan awal kanak-kanak. Di pusat-pusat prasekolah berkenaan, kurikulum prasekolah bersifat tradisional, iaitu menyediakan kanak-kanak dengan kemahiran asas 3M bagi membolehkan mereka dianggap superior dan mempunyai kelebihan daripada kanak-kanak lain. Penubuhan pusat-pusat prasekolah bertambah meluas dalam tahun-tahun 1960-an sejajar dengan perkembangan bandar-bandar utama, khususnya di negeri-negeri yang maju. (Azizah bt. Lebai Nordin, Fakulti Pendidikan UM).

Ketidakseimbangan penyertaan dalam prasekolah serta kepentingan pendidikan jenis ini disedari apabila Laporan Murad (1973) dikemukakan. Walau bagaimanapun, sebelum laporan itu telah dikuatkuasakan peruntukan tambahan Akta pelajaran 1961, P.U. (A) 414 Kaedah-kaedah Pelajaran (Kindergaten Sekolah Asuhan) (Pendaftaran), 1972 bagi mengawal perkembangan penubuhan dan pengurusan pusat-pusat berkenaan. Kesedaran tentang ketidakseimbangan penyertaan serta faedah pendidikan prasekolah sebagai pendidikan imbuhan awal telah mendorong beberapa agensi kerajaan dan pertubuhan kakitangan jabatan kerajaan giat menubuhkan pusat-pusat prasekolah dalam tahun-tahun 1970-an dan 1980-an. Diantara agensi-agensi kerajaaan yang giat menubuhkan dan membangunkan pusat-pusat prasekolah serta program-program pendidikan berkenaan ialah FELDA, FELCRA, RISDA, KEMAS. Jabatan Rukun Tetangga dan Perpaduan Negara, Kementerian Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam, universiti-universiti, Kementerian Pertahanan, Kementerian Pembangunan Bandar dan Desa Sabah, Lembaga Letrik Negara dan Yayasan Sabah.


Rancangan Malaysia kelima (1986-1990) telah menyatakan bahawa satu kajian yang meliputi seluruh negara mengenai kedudukan pendidikan prasekolah dijalankan pada tahun 1981 dan telah disiapkan pada tahun 1984. Kajian tersebut adalah bertujuan untuk menyediakan maklumat kepada kerajaan mengenai kedudukan pendidikan prasekolah dan bagi membantu kerajaan menggubal garis panduan dasar mengenai pendidikan prasekolah yang meliputi antara lain pengawasan, pengawalan, penyelarasan, latihan guru, pembentukan kurikulum dan peningkatan mutu pendidikan prasekolah. Hasil kajian tersebut menunjukkan bahawa pendidikan prasekolah telah berkembang dalam tempoh 1981-1984. Kanak-kanak dalam lingkungan umur empat hingga enam tahun yang mengikuti pendidikan prasekolah telah bertambah daripada 171,000 pada tahun 1980 kepada 279,000pada tahun 1984. Dalam tempoh yang sama, terdapat sebanyak 5,657 pusat prasekolah berbanding dengan 2,974 pada tahun 1980. Sebanyak 4,487 atau 79 peratus daripada jumlah pusat-pusat ini yang kebanyakannya terletak di kawasan luar bandar, menampung kira-kira 149,850 kanak-kanak atau 54 peratus daripada jumlah kanak-kanak yang mengikuti pendidikan prasekolah pada tahun 1984 (Rancangan Malaysia Kelima 1986-1990).

Pada tahun 1989 terdapat 6,959 pusat pendidikan prasekolah di Malaysia, 4,728 di bawah berbagai agensi kerajaan, 631 di bawah badan-badan Berkanun seperti FELDA (Federal Land Development Authority), 1392 dijalankan oleh pihak persendirian dan 208 di bawah organisasi sosial. Jumlah pendaftaran kanak-kanak dalam tahun 1989 adalah
33,520 meningkat daripada 196,992 pada tahun 1981 dan 300,850 pada tahun 1986. (Educational Statistics of Malaysia, 1980-85, 1986 dan 1989) (tidak diterbitkan).

Mengikut anggaran dalam tahun 1990, seramai lebih kurang 490,700 orang dari jumlah kanak-kanak yang berumur 5+ tahun harus mendapat pendidikan prasekolah. Dari jumlah ini, dianggarkan seramai 269,450 orang kanak-kanak (53%) tidak mendapat kemudahan pendidikan tersebut.(Kementerian Pendidikan Malaysia 1991). Keadaan ini mendorong Kementerian Pendidikan Malaysia menubuhkan prasekolah ‘Annex’ untuk memberi kemudahan pendidikan prasekolah bagi kanak-kanak miskin dari kawasan bandar dan luar bandar yang tidak mampu membayar yuran program pendidikan prasekolah yang dianggap mahal.


KESAN PENDIDIKAN PRASEKOLAH TERHADAP PENCAPAIAN PELAJARAN KANAK-KANAK

Adalah perlu diberi perhatian bahawa kajian-kajian di negara-negara maju telah membuktikan bahawa kanak-kanak yang mengikuti pendidikan prasekolah mempunyai kesan positif terhadap perkembangan kognitif dan afektif kanak-kanak peringkat Gred I dan Gred II (Halim, 1989). Dari kajian yang dijalankan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dengan kerjasama UNICEF (United Nations International Children’s Emergency Fund) (1980-1984) didapati bahawa kanak-kanak yang mempunyai pengalaman pendidikan prasekolah lebih bersedia untuk mengikuti pendidikan formal di sekolah rendah

(Kementerian Pendidikan Malaysia, 1991).

Kajian di Malaysia juga mendapati kanak-kanak yang mengikuti pendidikan prasekolah ada dari keluarga yang mempunyai latarbelakang sosio-ekonomi tinggi atau rendah memperolehi pencapaian yang tinggi semasa di darjah I dan darjah II (Halim, 1989). Kajian-kajian di atas menunjukkan betapa pentingnya pendidikan prasekolah sebagai asas kesinambungan pendidikan sekolah rendah. Memandangkan kepentingan pendidikan prasekolah bagi perkembangan diri kanak-kanak dan bertambahnya pusat-pusat pendidikan prasekolah di Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia dalam menggubal
Piagam (1994) tidak lupa memasukkan isu prasekolah. Piagam ini menyebut:-

a) Menyepadukan pendidikan prasekolah yang dikendalikan oleh agensi-agensi kerajaan yang lain di bawah Kementerian Pendidikan.

b) Memastikan semua kanak-kanak mengikuti pendidikan prasekolah.

c) Menyelaraskan dan memastikan kurikulum prasekolah di semua institusi prasekolah dilaksanakan. (Utusan Malaysia, 4 Januari 1994).


ISU KETIDAKSERAGAMAN KURIKULUM PENDIDIKAN PRASEKOLAH DI MALAYSIA

Satu fenomena yang paling ketara mengenai pendidikan peringkat prasekolah ini ialah terdapatnya berbagai agensi yang terlibat di dalam mengendalikannya. Sehingga kini terdapat kira-kira 31 buah agensi kerajaan, separa kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan bebas yang menganjurkan pusat pendidikan prasekolah (Kementerian Pendidikan, 1984). Sehingga waktu ini pendidikan prasekolah ini makin berkembang sejajar dengan perkembangan ekonomi dan taraf hidup masyarakat. Setiap agensi penganjur mengendalikan pusat-pusat prasekolah secara berasingan tanpa sebarang kawalan daripada pihak yang berwajib. Kurikulum yang digunakan adalah berbeza dan di bentuk secara bebas oleh setiap agensi berkenaan untuk memenuhi kehendak dan matlamat masing-masing.

Sebagai satu usaha untuk menyelesaikan masalah ini, dalam tahun 1984, Kementerian Pendidikan telah menghasilkan sebuah ‘Garis Panduan Kurikulum Pendidikan Prasekolah Malaysia’. Sebanyak lapan garis panduan untuk pendidikan prasekolah telah dibentuk dan garis panduan itu telah diperkemaskan lagi pada tahun 1986. Ini merupakan garis panduan untuk satu program tidak formal bagi kanak-kanak dalam lingkungan umur empat hingga enam tahun. Garis panduan ini berdasarkan kepada Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR). Secara ringkas garis panduan ini meliputi perkara-perkara seperti Pendidikan Ketatanegaraan, Pendidikan Kerohanian dan Moral, Penggunaan Bahasa Malaysia, Pendidikan Agama Islam, Perkembangan Fizikal, Perkembangan Sosio-Emosi, perkembangan kognitif dan perkembangan estetika dan daya kreatif.

Satu ulasan mengenai keadaan pendidikan prasekolah di Malaysia (New Straits Times, 22 Nov 1989:2) menunjukkan bahawa walaupun ada satu garis panduan yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, ketidakseragaman masih wujud. Ini adalah kerana 60% daripada tadika atau tabika yang ada di negara ini mempunyai kurikulum sendiri dan kaedah perlaksanaan yang berlainan. Kebanyakkannya terlalu memberatkan aspek tertentu seperti perkembangan aspek lain seperti kerohanian dan moral.

Menurut Zaharani Asran, (Utusan Malaysia, Nov. 1989), salah satu faktor yang menyebabkan penekanan yang tidak seimbang sewaktu melaksanakan kurikulum pendidikan awal adalah salah anggapan ibubapa tentang matlamat pendidikan prasekolah yang sebenarnya. Ramai ibubapa merungut kerana kanak-kanak belum pandai membaca, menulis dan mengira sedangkan mereka sudah dihantar ke taman asuhan kanak-kanak. Yang menjadi sasaran ibubapa ialah guru-guru tadika dan pihak pengurusan taman asuhan. Ibubapa akan mendesak agar anak-anak mereka diajar program 3M. Tanpa disedari mereka sebenarnya telah menimbulkan satu masalah yang menjadi kontroversi. Keperluan utama dalam rancangan pendidikan awal sekarang ini ialah menyediakan satu kurikulum yang sesuai, yang bercorak menyeluruh dan seimbang selaras dengan tujuan untuk melahirkan insan kamil.

Pengendalian pendidikan prasekolah oleh berbagai-bagai agensi yang berasingan ini telah menimbulkan beberapa masalah dan persoalan. Ini adalah kerana institusi-institusi tersebut mempunyai matlamat, tanggapan, orientasi, keutamaan dan kemampuan yang tersendiri dan berbeza-beza khasnya aspek penggunaan bahasa pengantar, penggunaan kurikulum, latihan ikhtisas, kelayakan akademik guru, gaji guru dan yuran pelajar, penempatan tadika, pengurusan dan pentadbiran, kemudahan-kemudahan asas dan keutamaan-keutamaan yang ditekankan.

Antara isu-isu yang dapat di timbulkan dari pendidikan prasekolah adalah dari sudut:

1) Model Kurikulum

Model kurikulum atau program prasekolah didapati berbagai-bagai. Ada yang menggunakan model tradisional atau akademik dan ada yang menggunakan Model Froebel, Montessori, Piaget, Head Start, Perkembangan Menyeluruh, Kurikulum Terbuka dan Campuran dan pelbagai lagi. Walau bagaimanapun kebanyakan prasekolah swasta menggunakan model tradisional dan ini dianggap menyeleweng daripada matlamat pendidikan awal kanak-kanak yang sepatutnya bertujuan untuk menggalakkan perkembangan psikososial, personaliti, moral dan potensi kanak-kanak. Prasekolah anjuran agensi kerajaan pula menekankan aspek sosiolisasi, perpaduan akhlak di samping aspek perkembangan kognitif.

2) Yuran

Kedudukan kewangan tadika swasta adalah kukuh disebabkan oleh yuran yang tinggi yang dikenakan kepada setiap kanak-kanak. Sebaliknya tadika yang dikelolakan oleh

3) Agensi-agensi kerajaan tidak begitu kukuh kedudukan kewangannya jika dibandingkan dengan tadika swasta. Sumber kewangan tadika/tabika agensi kerajaan adalah bergantung sepenuhnya kepada peruntukan kerajaan tetapi jumlah itu sangat kecil. Bayaran untuk menghadiri tadika adalah berbeza-beza. Kanak-kanak dari keluarga yang kaya menghadiri tadika yang bayarannya lebih tinggi dari bayaran universiti dan kanak-kanak yang dari keluarga yang miskin akan menghadiri tadika yang bayarannya lebih murah atau kemungkinan tidak menghadiri tadika langsung. Ekoran dari ini, tadika yang mengenakan bayaran yang tinggi dapat pula memberi gaji yang lebih tinggi kepada guru-guru yang mempunyai latihan yang lebih baik. Ini tidak mungkin dilakukan oleh tadika-tadika yang mengenakan bayaran yang rendah, oleh itu guru-guru yang diambilnya tidak terlatih dan kedudukan mereka pula tidak tetap.Keadaan ini akan menjadikan tadika yang mengenakan bayaran tinggi itu lebih baik dan kanak-kanak yang menghadiri tadika tadi menerima pendidikan prasekolah yang lebih sempurna. Kesimpulannya ialah orang yang lebih baik kedudukan sosio-ekonominya akan mendapat pendidikan prasekolah yang lebih baik. Pembayaran yuran yang berbeza mencerminkan ketidak seimbangan antara kawasan dan agensi yang terlibat.

4) Kelayakan Akademik dan Ikhtisas Guru

Tenaga pengajar yang mengendalikan program latihan ini mempunyai kelulusan akademik dan ikhtisas yang berbeza-beza. Ada di antara agensi ini mempunyai tenaga pengajar yang berkelulusan ‘post graduate’ dalam pendidikan prasekolah. Manakala yang lain pula hanya mempunyai latihan asas berhubung dengan pendidikan prasekolah. Tidak ada koordinasi di antara agensi-agensi yang menjalankan latihan berhubung dengan kurikulum, taraf akademik tenaga pengajar dan jangka masa kursus yang dijalankan. Di samping itu hanya sejumlah kecil sahaja bakal-bakal guru tadika yang dapat diberi latihan sempurna kerana terhadnya bilangan pusat latihan dan bilangan tenaga pengajar yang berkelayakan.

5) Gaji guru

Memandangkan pendidikan prasekolah dijalankan oleh pelbagai agensi dan pertubuhan, maka terdapat perbezaan yang ketara dari segi bayaran gaji dan ganjaran untuk guru-guru prasekolah. Prasekolah yang mengenakan yuran yang mahal kepada kanak-kanak di bawah pengawasannya akan membayar gaji guru dengan jumlah yang lebih mahal berbanding dengan agensi prasekolah yang mengenakan yuran yang rendah. Pembayaran gaji guru juga adalah berpandukan kepada kelayakan akademik yang di miliki oleh guru berkenaan. Tidak ada pelarasan gaji di antara guru-guru yang mengajar. Secara amnya, guru-guru tadika agensi kerajaan atau separa kerajaan menerima gaji di antara RM 400 hingga RM600 manakala bagi guru-guru tadika swasta adalah sebanyak RM 700 dan kadangkala mencapai keempat angka.


1 comments:

zieqwenziey on October 29, 2018 at 5:38 AM said...

Cuba tukar warna purple kpd kuning...senang nak baca n dapat m'relaxkan mata pembaca.... :)

Post a Comment